Friday, April 3, 2009

Refleksi 5:
Apakah cadangan dan pendapat anda bagi memperbaiki sukatan pelajaran yang terdapat dalam subjek Multimedia dalam Pendidikan Islam ini? Adakah ianya perlu diubah? Sekiranya YA kenapa dan bagaimana. Sekiranya TIDAK kenapa?

Pada pendapat saya, sukatan pelajaran dalam subjek Multimedia dalam Pendidikan islam ini amat-amat bersesuaian dan tidak ada yang perlu diubah kerana melalui pengalaman saya mengikuti kursus ini, saya amat berpuas hati dengan sukatan pelajaran yang ditetapkan. Namun saya ada sedikit cadangan dari segi perlaksanaan kursus ini iaitu masalah komputer di makmal akademi pengajian islam yang selalu mengalami gangguan sehingga menggangu kelancaran proses P&P kelas. Diharap kepada pihak yang bertanggungjawab memandang serius kepada perkara ini demi keselesaan semua pihak.
Akhir sekali, saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada ust azrul kerana telah berjaya mengendalikan kelas ini dengan baik sekali. Saya amat berminat dengan cara ust mengendalikan kelas secara professional,cekap tetapi pada masa yang sama mesra pelajar..alhamdulillah, banyak perkara baru saya dapat daripada pengajaran ustaz samada dari segi ilmu mahupun cara pengajaran yang berkesan..syukran jazilan..
Refleksi 4:
Nampaknya kelas kita sudah hampir ke penghujungnya. Saya berharap agar anda sudah mendapat banyak manfaat dan ilmu serta kemahiran dalam masa 9 minggu ini. Anda akan menyerahkan tugasan projek anda tidak lama lagi. Saya ingin mengetahui pendapat anda tentang pengalaman menyiapkan tugasan projek tersebut. Soalan-soalannya adalah seperti berikut:

1. Apakah pendapat/persepsi anda apabila diberitahu bahawa anda dikehendaki untuk menyiapkan satu koswer yang menggabungkan semua elemen-elemen multimedia?

Sebaik sahaja mendapat tahu kami perlu menyiapkan satu koswer yang menggabungkan semua elemen-elemen multimedia, pada mulanya saya berasa sangat kaget dan berfikir apakah aku mampu buat ataupun tidak memandangkan saya tidak berapa arif mengenai ilmu koswer pada ketika itu, namun setelah diberi penjelasan oleh ustaz Azrul sedikit demi sedikit perasaan takut saya itu hilang. Saya amat bertuah kerana di akhir semester sebelum saya menamatkan pangajian saya dianugerahkan Allah s.w.t seorang pensyarah yang sangat baik, berilmu pengetahuan luas dan yang paling penting beliau tidak lokek untuk berkongsi ilmu dengan kami semua.

Setelah beberapa minggu selepas itu sedikit demi sedikit kami diajar tentang koswer yang terdapat dalam multimedia. Cara mengajar ust Azrul sangat berkesan kerana beliau mengajar teori pada awalnya dan selepas itu kami akan mempraktikkannya bersama-sama dalam kelas. Jadi, kami tidak banyak mengalami masalah ketika ingin menyiapkan tugasan yang diberikan kerana telah diberi bimbingan yang mencukupi daripada beliau. Lagi pula jika kami ada masalah kami boleh bertanya kepada beliau secara on-line melalui ruang forum yang telah disediakan. Kesimpulannya memang syok belajar dengan ustaz dan saya amat bersyukur kerana sedikit demi sedikit ilmu ICT saya bertambah setelah belajar dengan ustaz.syukran jazilannnn ustaz.. 2.



2. Pada pendapat anda adakah projek ini akan dapat membantu anda ketika anda menjalani praktikum nanti?

Memang sangat membantu kerana banyak perkara yang saya tidak tahu sebelum ini telah saya ketahui setelah mengambil subjek multimedia ini. Tambahan pula tugasan yang diberikan amat mencabar seterusnya memberi pengalaman kepada saya dalam menyiapkannya dan melalui saya mendapat ilmu-ilmu baru melalui pengalaman saya menyiapakan tugasan ini. Oleh itu, ianya sedikit sebanyak membantu saya ketika menjalani praktikum nanti kerana saya boleh praktikan apa yang saya pelajari dalam kursus ini.


3. Untuk makluman anda ketika pembentangan projek nanti, rakan-rakan anda yang lain dikehendaki untuk membuat penilaian terhadap anda berasaskan bintang (memberikan jumlah bintang yang bersesuaian dengan produk yang dihasilkan dan pembentangan yang dilakukan)
Soalannya, sekiranya anda fasilitator/tutor kelas ini, adakah anda akan menukar kaedah penilaian tugasan ini?Jika YA, jelaskan bagaimana dan mengapa? Jika TIDAK (dan ingin mengekalkan kaedah penilaian menggunakan sistem bintang), mengapa?

Jika saya menjadi fasilitator kelas ini, saya secara peribadinya amat bersetuju untuk menggunakan kaedah penilaian menggunakan sistem bintang kerana ianya amat berkesan dari sudut teori dan praktikalnya. Namun pada saya, sistem bintang harus dibahagikan kepada dua iaitu 50% daripada pelajar dan 50% lagi daripada tutor itu sendiri.
Penglibatan pelajar dalam penilaian ini amat penting kerana pelajar akan fokus ketika rakan mereka dari kumpulan membentangkan tugasan. Selain itu, mereka juga mengesan dan mengenalpasti di mana kekurangan dan kelebihan pada setiap kumpulan seterusnya mereka dapat mengambil yang terbaik apabila ingin dipraktikkan di sekolah pada suatu hari nanti.

Refleksi 3:
Untuk refleksi seterusnya, berikut adalah soalan-soalan yang perlu dibincangkan bersama. Soalan-soalan ini menuntut anda memikirkan pengalaman yang telah dilalui pada semester ini yang berkaitan dengan pembelajaran atas talian menggunakan Moodle (ADEC). Soalan-soalan ini adalah amat penting kerana ianya akan membantu anda sebagai seorang guru yang juga akan menggunakan pembelajaran atas talian dengan murid-murid anda suatu hari nanti.

1- Apakah ciri-ciri dan kemahiran yang ada pada anda membolehkan anda mengawal proses pembelajaran anda secara atas talian?

Antara ciri-ciri dan kemahiran yang ada pada saya yang membolehkan saya mengawal proses pembelajaran secara atas talian adalah:

1- saya telah mempelajari banyak ilmu berkaitan ICT untuk membangunkan e-pembelajaran ketika di Universiti Malaya.


2-Saya seorang yang suka kepada cabaran.

3-Saya seorang yang penyabar dalam melayan karenah anak murid yang pelbagai latar belakang.

4-Saya inginkan semua anak didik saya mahir dalam bidang ICT memandangkan zaman yang semakin mencabar dan keperluan terhadapnya semakin tinggi.

5-Saya tidak mahu anak murid saya buta komputer seperti saya pada suatu masa dahulu.
Saya amat berminat dan suka melayari internet untuk mencari maklumat dan sebagainya.


Justeru, saya fikir ia akan memudahkan saya untuk sentiasa berinteraksi dengan pelajar melalui laman yang disediakan dalam e-pembelajaran saya.










2- Apakah bahan atau sumber yang perlu disediakan oleh tutor/pensyarah supaya anda boleh mengawal proses pembelajaran anda atas talian?

Berikut adalah bahan atau sumber yang perlu disediakan oleh tutor atau pensyarah supaya kita boleh mengawal proses pembelajaran di atas talian adalah:

@ maklumat kursus yang merangkumi sinopsis, objektif, hasilan pembelajaran, kandungan, kaedah P&P, bentuk penilaian, rujukan asas, perincian beban pembelajaran pelajar serta maklumat kontrak pensyarah wajib disediakan.
@ Setiap pensyarah dan pelajar berkomunikasi melalui e-mel mengenai kursus yang ditawarkan berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan.

@ Pensyarah merancang dan melaksanakan aktiviti berikut melalui sistem pengurusan e-pembelajaran:

1-menyediakan nota kuliah samada dalam bentuk pdf atau dalam bentuk yang sesuai mengikut bidang secara atas talian.


2-menguruskan forum atau perbincangan secara atas talian berdasarkan garis panduan yang ditetapkan.

3-menyediakan soalan-soalan kuiz atau latihan secara atas talian.

4-menyediakan alternatif kepada para pelajar untuk menghantar tugasan secara atas talian berdasarkan garis panduan yang ditetapkan.

5-menyediakan sumber rujukan tambahan secara atas talian.

6-Pensyarah membangunkan kandungan pembelajaran Interaktif Akses Kendiri dalam bentuk ”learning objects”. Bahan pengajaran tersebut perlu disediakan berdasarkan pedagogi yang menepati ciri-ciri yang ditetapkan.





3- Apakah perkara-perkara yang perlu dibuat oleh seorang guru untuk membantu murid meningkatkan kawalan proses pembelajarannya secara atas talian?

Antara perkara-perkara yang perlu dibuat oleh seorang guru untuk membantu murid meningkatkan kawalan proses pembelajarannya secara atas talian adalah:

menyediakan komponen kandungan atau bahan kursus yang ingin dipelajari supaya pelajar jelas tentang isi pembelajaran serta mendapat gambaran awal tentang apa yang mereka akan pelajari.

Menyediakan rekabentuk Instruksi bahan pengajaran.
Pensyarah merancang dan melaksanakan aktiviti berikut melalui sistem pengurusan e-pembelajaran:

1-menyediakan nota kuliah samada dalam bentuk pdf atau dalam bentuk yang sesuai mengikut bidang secara atas talian.


2-menguruskan forum atau perbincangan secara atas talian berdasarkan garis panduan yang ditetapkan.

3-menyediakan soalan-soalan kuiz atau latihan secara atas talian.

4-menyediakan alternatif kepada para pelajar untuk menghantar tugasan secara atas talian berdasarkan garis panduan yang ditetapkan.

5-menyediakan sumber rujukan tambahan secara atas talian.

6-Menyediakan ruang khas untuk pelajar dan guru berinteraksi secara langsung bagi memberi peluang kepada pelajar yang menghadapi masalah dalam kursus bertanya kepada guru seterusnya guru dapat membantu para pelajar menyelesaikan masalah tersebut.

7-Menyediakan ruang penilaian bagi membolehkan pelajar melakukan penilaian dan memberi komen serta cadangan terhadap keberkesanan pengajaran guru dan kursus untuk tujuan penambahbaikan pada masa akan datang.

8-Akhir sekali, pensyarah juga harus membina satu sistem pengajaran yang boleh berhubung terus dengan pihak pentadbir bagi memudahkan pelajar berinteraksi jika terdapat sebarang masalah dan sebagainya.



Refleksi 2:
Ramai yang mengatakan guru-guru tidak menggunakan ICT di sekolah kerana mereka belum bersedia. Sekiranya anda ditempatkan di sekolah Bestari, apakah langkah-langkah yang akan anda lakukan untuk membantu guru-guru lain supaya bersedia untuk membudayakan ICT dan memanfaatkan perkakasan ICT yang ada di sekolah?

Jika ditakdirkan saya ditempatkan di sekolah Bestari pada suatu hari nanti, antara langkah-langkah yang akan saya ambil untuk membantu guru-guru lain supaya bersedia untuk membudayakan ICT dan memanfaatkan perkakasan ICT yang ada di sekolah adalah:


Perkara pertama yang saya akan lakukan adalah mengenalpasti rakan-rakan guru yang mempunyai kemahiran dalam bidang ICT. Langkah seterusnya, saya akan meminta sokongan daripada pengetua sekolah untuk melibatkan para guru yang mempunyai kemahiran dalam bidang ini untuk membentuk satu jawatankuasa bagi merangka pelbagai langkah sebagai usaha membudayakan ICT dikalangan rakan-rakan guru yang lain seterusnya memanfaatkan perkakasan ICT yang ada di sekolah.



Setelah melakukan perbincangan dan mendapatkan kelulusan daripada semua pihak, antara langkah-langkah yang akan cuba dilakukan oleh kami antaranya:

1. menyedikan sumber on-line yang melibatkan pengkalan data, jurnal on-line, perpustakaan perisian dan kumpulan Interner on-line.
2. menggunakan e-mel untuk tujuan sesi kaunseling, kontrak pembelajaran dan perhubungan jarak jauh antara guru dan pelajar.
3. menyediakan papan buletin untuk tujuan perbahasan dan simposium.
4. mengadakan sesi persidangan untuk tujuan perbahasan, kajian kes, kumpulan diskusi, permainan dan kumpulan projek.
5. menyediakan panduan senarai tapak-tapak yang berkaitan dengan proses P&P kepada guru pelatih.
6. kerja kursus berportfolio (KKB), projek, folio, taksiran ynag diberikan harus bercorak menggalakkan penggunaan kemudahan Internet dan perlu diintegrasikan dalam proses latihan dan P&P guru pelatih.
7. memperbanyakkan tapak-tapak yang berkaitan dengan P&P dalam bahasa melayu kerana kajian memdapati kebanyakan para guru malas untuk mengakses Internet kerana kebanyakan tapak-tapaknya adalah dalam bahasa inggeris.

Justeru, pihak kementerian juga haruslah memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak sekolah bagi menjayakan misi ini seperti menyediakan komputer yang mencukupi bagi setiap sekolah agar nisbah komputer kepada guru dan pelajar mencapai tahap paling minima supaya mencapai keberkesanan yang dihasratkan.

Namun, memang tidak dapat dinafikan bahawa Internet merupakan satu alat semata-mata dan sesuatu alat itu tidak dapat membawa perubahan jika ia tidak disusuli dengan aspek kebestarian yang berada dalam genggaman pengguna alat itu. Bak kata Riel (1990):
”The tools have changed, the job hasn’t…..new tools alone do not create educational change. The power is not in the tool but in the community that can be brought together and the collective vision that they share for redefining classroom learning”

Oleh itu, sebagai warga pendidik kita haruslah menyahut serta menanam keazaman untuk merealisasikan cabaran kerajaan Malaysia bagi membentuk anak-anak bangsa yang semakin mencabar bagi melahirkan generasi yang bertamadun dengan memanfaatkan segala teknologi yang ada.






Refleksi 1:
Apakah transformasi yang perlu dilalui oleh seorang guru supaya dapat mencapai hasrat negara untuk membangunkan generasi yang mempunyai kemahiran abad 21 (Sila baca sendiri apa yang dimaksudkan dengan kemahiran abad 21)?

Dalam era Informasi dan Teknologi Maklumat (ICT), kini telah berlaku beberapa perubahan dan inovasi dalam sektor pendidikan. Paradigma pembelajaran yang sedia ada akibat inovasi-inovasi ini telah mengorak langkah bagi institusi-institusi utama untuk melihat kembali proses mengakses maklumat dan penyampaiannya di sekolah, kolej, maktab dan universiti. Institusi- institusi pendidikan bukan lagi merupakan pengedar tunggal ilmu pengetahuan dan proses pembelajaran juga tidak lagi dibatasi oleh ruang dan masa. Persekitaran elektronik yang sedemikian ini adalah berlandaskan kepada penggunaan ICT.

Selaras dengan trend ini juga maka persekitaran pembelajaran elektronik lebih merupakan penyampaian latihan dan atau pendidikan melalui Internet. Internet bermaksud ”International networking”yang merupakan satu rangkaian antarabangsa yang merangkaikan beribu-ribu sistem komputer samada di rumah, pejabat, organisasi atau institusi dengan menggunakan bahasa komputer. Setiap rangkaian yang disambung ke Internet boleh dipecahkan kepada rangkaian yan g lebih kecil. Jaringan elektronik ini menghubungkan manusia dengan manusia lain di seluruh dunia. Maka, Internet merupakan satu komponen yang penting dalam era ledakan maklumat secara global dan maklumat yang diperolehi adalah tanpa sempadan kerana Internet menyediakan kemudahan mel elektronik, berita dan perkhidmatan maklumat pada kos yang rendah.

Ini akan membolehkan sesuatu organisasi menggunakan kesempatan ini sepenuhnya untuk menggunakan kemudahan sedia ada seperti teknologi desktop atau PC dan rangkaian komputer. Pembelajaran elektronik ini boleh sampai secara terus kepada komputer pelajar apabila dan di mana diperlukan. Dalam era Internet, penggunaannya semakin tersebar dan kini sebahagian besar golongan pendidik menggunakan Internet untuk berkomunikasi dan berkongsi maklumat. Penggunaan teknolgi Internet dilihat sangat relevan diaplikasikan oleh golongan pendidik dalam usaha membantu hasrat negara untuk membangunkan generasi yang mempunyai kemahiran-kemahiran abad ke-21.
Dengan kemahiran dan pengetahuan ICT, dunia pendidikan mampu melangkau sempadan ilmu tanpa batas dan maklumat hanya berada di hujung jari. Ini adalah asas kepada pendidikan sepanjang hayat. ICT juga perlu menjadi metodologi penyampaian terkini yang mampu menarik perhatian pelajar. Oleh itu, para guru dan juga pelajar haruslah mempersiapkan diri dengan menguasai kemahiran ini dengan sebaik-baiknya, jika tidak pasti kita akan keciciran kerana masa untuk menoleh ke belakang sudah tidak ada lagi.
Memandangkan penggunaan Internet kian bertambah, maka dirasakan para golongan pendidik harus peka pada keperluan ini dan melengkapkan diri mereka dengan kemahiran ini. Kepentingan Internet tidak dapat dinafikan dalam era ledakan maklumat ini. Tambahan lagi, Internet dapat membolehkan seseorang individu memperolehi sumber maklumat di hujung jari mereka. Selaras dengan ini maka para guru dalam pra perkhidmatan dan dalam perkhidmatan harus melengkapkan diri mereka dengan kemahiran dan pengetahuan tentang penggunaan Internet.


Memandangkan kepentingannya, kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia amat prihatin dengan kehendak dan aspirasi para guru pada masa kini yang terpaksa memikul tanggungjawab besar dalam mendidik generasi yang mempunyai pemikiran terbuka dan moden.. Keprihatinan kerajaan terhadap bidang pendidikan ini terbukti apabila dalam Rancangan Malaysia ke-9 (2006-2010) banyak memberi peruntukan kepada bidang pendidikan terutamanya dalam aspek pembangunan ICT di kalangan warga sekolah. Bersesuaian dengan tema RM ke-9 ini iaitu untuk “Membina Tamadun dan menjulang Martabat Bangsa”, justeru banyak rancangan sedang dan akan diatur oleh pihak kerajaan bagi memartabatkan profesion perguruan dan melahirkan generasi sekarang dan akan datang untuk menjadi insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.


Melihat kepada kesungguhan pihak kerajaan dalam memartabatkan profesion pendidikan Negara, sebagai salah seorang daripada pendukung falsafah pendidikan kita sebagai guru seharusnya membuat transformasi serta menyokong sepenuhnya usaha kerajaan dalam melahirkan generasi pemimpin yang berketrampilan dalam segenap sudut untuk memimpin Negara pada masa akan datang.