Friday, April 3, 2009

Refleksi 1:
Apakah transformasi yang perlu dilalui oleh seorang guru supaya dapat mencapai hasrat negara untuk membangunkan generasi yang mempunyai kemahiran abad 21 (Sila baca sendiri apa yang dimaksudkan dengan kemahiran abad 21)?

Dalam era Informasi dan Teknologi Maklumat (ICT), kini telah berlaku beberapa perubahan dan inovasi dalam sektor pendidikan. Paradigma pembelajaran yang sedia ada akibat inovasi-inovasi ini telah mengorak langkah bagi institusi-institusi utama untuk melihat kembali proses mengakses maklumat dan penyampaiannya di sekolah, kolej, maktab dan universiti. Institusi- institusi pendidikan bukan lagi merupakan pengedar tunggal ilmu pengetahuan dan proses pembelajaran juga tidak lagi dibatasi oleh ruang dan masa. Persekitaran elektronik yang sedemikian ini adalah berlandaskan kepada penggunaan ICT.

Selaras dengan trend ini juga maka persekitaran pembelajaran elektronik lebih merupakan penyampaian latihan dan atau pendidikan melalui Internet. Internet bermaksud ”International networking”yang merupakan satu rangkaian antarabangsa yang merangkaikan beribu-ribu sistem komputer samada di rumah, pejabat, organisasi atau institusi dengan menggunakan bahasa komputer. Setiap rangkaian yang disambung ke Internet boleh dipecahkan kepada rangkaian yan g lebih kecil. Jaringan elektronik ini menghubungkan manusia dengan manusia lain di seluruh dunia. Maka, Internet merupakan satu komponen yang penting dalam era ledakan maklumat secara global dan maklumat yang diperolehi adalah tanpa sempadan kerana Internet menyediakan kemudahan mel elektronik, berita dan perkhidmatan maklumat pada kos yang rendah.

Ini akan membolehkan sesuatu organisasi menggunakan kesempatan ini sepenuhnya untuk menggunakan kemudahan sedia ada seperti teknologi desktop atau PC dan rangkaian komputer. Pembelajaran elektronik ini boleh sampai secara terus kepada komputer pelajar apabila dan di mana diperlukan. Dalam era Internet, penggunaannya semakin tersebar dan kini sebahagian besar golongan pendidik menggunakan Internet untuk berkomunikasi dan berkongsi maklumat. Penggunaan teknolgi Internet dilihat sangat relevan diaplikasikan oleh golongan pendidik dalam usaha membantu hasrat negara untuk membangunkan generasi yang mempunyai kemahiran-kemahiran abad ke-21.
Dengan kemahiran dan pengetahuan ICT, dunia pendidikan mampu melangkau sempadan ilmu tanpa batas dan maklumat hanya berada di hujung jari. Ini adalah asas kepada pendidikan sepanjang hayat. ICT juga perlu menjadi metodologi penyampaian terkini yang mampu menarik perhatian pelajar. Oleh itu, para guru dan juga pelajar haruslah mempersiapkan diri dengan menguasai kemahiran ini dengan sebaik-baiknya, jika tidak pasti kita akan keciciran kerana masa untuk menoleh ke belakang sudah tidak ada lagi.
Memandangkan penggunaan Internet kian bertambah, maka dirasakan para golongan pendidik harus peka pada keperluan ini dan melengkapkan diri mereka dengan kemahiran ini. Kepentingan Internet tidak dapat dinafikan dalam era ledakan maklumat ini. Tambahan lagi, Internet dapat membolehkan seseorang individu memperolehi sumber maklumat di hujung jari mereka. Selaras dengan ini maka para guru dalam pra perkhidmatan dan dalam perkhidmatan harus melengkapkan diri mereka dengan kemahiran dan pengetahuan tentang penggunaan Internet.


Memandangkan kepentingannya, kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia amat prihatin dengan kehendak dan aspirasi para guru pada masa kini yang terpaksa memikul tanggungjawab besar dalam mendidik generasi yang mempunyai pemikiran terbuka dan moden.. Keprihatinan kerajaan terhadap bidang pendidikan ini terbukti apabila dalam Rancangan Malaysia ke-9 (2006-2010) banyak memberi peruntukan kepada bidang pendidikan terutamanya dalam aspek pembangunan ICT di kalangan warga sekolah. Bersesuaian dengan tema RM ke-9 ini iaitu untuk “Membina Tamadun dan menjulang Martabat Bangsa”, justeru banyak rancangan sedang dan akan diatur oleh pihak kerajaan bagi memartabatkan profesion perguruan dan melahirkan generasi sekarang dan akan datang untuk menjadi insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.


Melihat kepada kesungguhan pihak kerajaan dalam memartabatkan profesion pendidikan Negara, sebagai salah seorang daripada pendukung falsafah pendidikan kita sebagai guru seharusnya membuat transformasi serta menyokong sepenuhnya usaha kerajaan dalam melahirkan generasi pemimpin yang berketrampilan dalam segenap sudut untuk memimpin Negara pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment